Google

Tuesday, April 10, 2007

Harta Suami, Harta Isteri

Dalam hidup berumahtanga, masing-masing pihak mempunyai harapan agar perkahwinan
mereka berakhir sehingga ke akhir hayat. Dalam tempoh perkahwinan biasanya tidak timbul pertikaian harta. Masing-masing pihak sudah memahami bahawa harta yang diperolehi itu adalah harta mereka bersama.Meskipun suami atau isteri cuba menggunakan atau memanfaatkan harta mana-mana pihak, biasanya tindakan itu diredhai atau memberi apa-apa ganti rugi secara sukarela atau rundingan bersama apabila ia dibangkitkan. Biasanya, pada tahap ini tidak timbul pertikaian atau tuntutan sehingga dibawa ke mahkamah atau perantara. Apa yang biasa menjadi pertikaian dan tindakan seterusnya ialah apabila pihak suami cuba untuk berpoligami atau timbul perselisihan sehingga membawa kepada perceraian, maka barulah harta mereka yang peroleh itu sama ada di dalam atau di luar rumah cuba dibangkitkan.
Mutakhir ini juga timbul pelbagai asas tuntutan harta yang biasanya dibangkitkan oleh pihak isteri atau bekas isteri misalnya sumbangan secara tidak langsung mereka di dalam rumah seperti mengurus rumah dan anak serta makan minum suami dan sebagainya, apa-apa simpanan suami dalam tempoh perkahwinan yang cuba dituntut atas asas yang sama. Tuntutan biasanya ditimbulkan oleh isteri yang menjadi surirumah sepenuh masa atau membantu meringankan bebanan suami yang dikenali dengan prinsip “sumbangan konstruktif”. Begitu juga jika salah satu pasangan meninggal dunia, pihak yang hidup memohon supaya harta yang diperoleh dibahagi terlebih dahulu sebelum ditentukan harta pusaka sebenar si mati.
Kertas ini cuba menjelaskan konsep amalan pembahagian harta ini dari perspektif undang-undang Syariah dan bagaimana amalan adat telah diiktiraf dan penyelesaian harta ini dirujuk kepada sumber hukum Syarak.

Pengiktirafan Syarak tentang Pemilikan Harta
Sebenarnya Syarak mengiktiraf habuan yang dihasilkan melalui usaha sebagaimana yang
disebut dalam al-Qur’an dan termasuklah pemilikan harta peribadi dimana usaha masing-masing pihak dan habuan atau hasil usaha penat lelah sehingga berjaya mengumpul harta. Dalam konteks harta suami isteri tidak ada nas secara khusus menyebut tentang harta pihak-pihak kecuali yang berkaitan dengan perkara mahar, nafkah, mut`ah, pusaka dan wasiat.
Sehubungan dengan pertikian harta suami isteri, Imam al-Shafi`i dalam kitabnya al-Um adalah membahaskan di bawah tajuk “Ikhtilaf al-Zawjayn fi Mata` al-Bayt” (pertikaian suami isteri tentang barangan rumah) yang membincangkan bagaimana pertikaian tersebut boleh diselesaikan menerusi kaedah pembuktian. Jika tidak dapat dibuktikan maka sumpah digunakan dan harta dibahagi kepada dua sama banyak. Ulama fiqh lain seperti aliran fiqh Hanafi, Maliki dan lainnya lebih cenderung menyelesaikan pertikaian seumpama ini mengikut kecenderungan atau kesesuaian pihak lelaki atau wanita dengan mengambilkira qarinah-qarinah yang wujud. Mereka juga menyebut bahawa pertikaian boleh berlaku sama ada semasa perkahwinan, selepas berlaku perceraian atau jika berlaku kematian salah seorang pasangan.
Oleh kerana pertikaian suami isteri melibatkan pemilikan harta individu, maka prinsip asas yangbiasa digunakan ialah dalam perkara (bab) yang berkaitan dengan keterangan (bayyinah) dan qarinah atau sumpah jika tidak dapat dibuktikan pemiliknya sebagaimana yang dibincangkan oleh ulama fiqh. Ini kerana ia melibatkan pemilikan yang samar (tidak jelas), maka perlu dibuat penelitian dan digalakkan diselesaikan secara sulh.
Tuntutan juga ada kalanya timbul daripada waris lain yang berhak apabila salah satu pasangan meninggal dunia dimana perlu dibahagi dahulu kepada pasangan yang hidup sebelum dibahagi sebagai harta pusaka. Ini berbangkit apabila pasangan yang hidup itu tidak redha bahawa harta yang ditinggalkan si mati adalah harta sebenar si mati.

Menurut hukum Syarak harta sebenar si mati adalah harta bersih si mati setelah ditolak hutang (jika ada) atau wasiat (jika dibuat wasiat) dan malah menurut keutamaan ulama fiqh iaitu setelah ditolak kos pengurusan si mati.
Sehubungan itu, fatwa ulama tanah jawi misalnya fatwa Sheikh Ahmad bin Muhammad Zayn bin Mustafa al-Fatani menghendaki supaya “.. dan apabila mati salah seorang daripada keduanya,maka tiada dapat tiada daripada berbahagi antara keduanya jika tiada redha yang hidup kepada warathah orang yang mati atau tiada redha oleh warisnya kepada yang hidup itu, dan jika adalah berbahagi itu atas jalan musahamah pada kadar yang lebih kurang sekalipun dan kemudian daripada berbahagi itu baharulah mengambil pusaka akan tarikah mayyit oleh warisnya."

No comments: